Kenapa Kita Perlu Merancang Kewangan?

Mengapa kita perlu merancang kewangan? Jika mahu kejayaan dalam apa jua usaha – tidak kira sama ada hendak berperang atau hendak menganjurkan majlis menyambut tahun baru, semuanya memerlukan perancangan rapi. Begitu juga jika mahu melaburkan wang. Mereka yang matang, bijak dan pandai selalu berkata, kita tidak merancang untuk gagal, tetapi ramai yang gagal untuk merancang.

Perancangan kewangan bukan sahaja memberi gambaran tentang kedudukan kewangan kita yang terkini tetapi juga memberi hala tuju masa hadapan kita dengan menetapkan matlamat kewangan, dan dengan demikian membolehkan kita mencapai matlamat yang diharapkan secara lebih efektif.

Harapan saya agar anda dapat teruskan membaca posting di bawah ini kerana ia akan membantu anda membentuk pelan kewangan sendiri.

 

Perancangan Kewangan Amat Penting Untuk Masa Hadapan

Nilai Kedudukan Kewangan Anda

Sebelum meneruskan sebarang pelan pelaburan, anda perlu menilai kedudukan kewangan sendiri, misalnya menilai perbelanjaan yang perlu dan simpanan yang ada, supaya anda boleh membuat keputusan berapa banyak yang boleh ditabung dan dilaburkan. Mungkin buat masa ini anda berbelanja sesuka hati dan pada bila-bila masa sahaja tanpa memikirkan berapa baki wang yang tinggal pada setiap hujung bulan.

Bagaimana untuk menentukan kedudukan kewangan anda? Dalam posting ini, saya akan bincangkan dua perkara penting iaitu, Pastikan nilai bersih wang anda, dan yang ke dua buat penyata aliran tunai.

Pertama, pastikan nilai bersih wang anda

Nilai bersih simpanan boleh disamakan dengan lembaran imbangan sesebuah syarikat. Ia menggambarkan kedudukan kewangan anda. Untuk mengira nilai bersih simpanan, anda perlu menyenaraikan semua aset dan tanggungan anda. Kemudian tolak tanggungan daripada aset untuk mendapat nilai bersih simpanan.
Aset merangkumi wang tunai, akaun bank, barang-barang berharga seperti barang kemas atau barangan antik, pelaburan sedia ada seperti saham atau unit amanah dan aset tetap seperti rumah atau hartanah.

Tanggungan pula termasuklah sebarang pinjaman anda (untuk membeli kereta, rumah, malah pinjaman daripada keluarga dan kawan-kawan), kad kredit dan sebarang hutang lain jika ada.
Jika selepas dikira, nilai bersih adalah negatif, bermakna anda belum mampu melabur. Lupakan sahaja soal pelaburan buat sementara waktu dan berusaha supaya nilai bersih wang anda bertukar positif. Sebaliknya, jika nilai bersih adalah positif, perlu pula dilihat sama ada ia mencukupi untuk memenuhi semua keperluan akan datang. Mungkin jumlahnya perlu ditingkatkan supaya lebih banyak boleh dilaburkan.

Bagaimana untuk meningkatkan nilai bersih wang? Satu caranya adalah dengan mengurangkan perbelanjaan. Sebarang lebihan wang tunai daripada perbelanjaan boleh dimasukkan dalam senarai aset bagi meningkatkan nilai bersih.

Tetapi, perbelanjaan yang mana pula perlu dipotong? Untuk menentukannya:

Buat penyata aliran tunai

Anda perlu mengesan ke mana wang dibelanjakan; buat analisis aliran tunai mengenai corak pendapatan dan perbelanjaan. Pertama sekali, susun semua penyata gaji, resit, bil, penyata cukai dan data kewangan yang lain dalam satu rekod untuk menunjukkan berapa banyak pendapatan yang telah diperoleh dan berapa banyak pula telah dibelanjakan setiap bulan untuk sepanjang tahun. Senaraikan dan teliti setiap perbelanjaan untuk memastikan yang mana boleh dikurangkan supaya akhirnya nanti anda mempunyai aliran tunai yang positif – iaitu lebih banyak wang masuk berbanding wang keluar.

Ketika berlatih membuat aliran tunai, ada beberapa perkara yang perlu diambil kira dan ada soalan yang perlu ditanya pada diri sendiri, antaranya:

Pendapatan anda: Berapa gaji anda? Adakah anda mempunyai sumber pendapatan lain – kerja sambilan, dividen, rumah yang disewakan, bonus. Jika membuat analisis untuk seisi keluarga, pendapatan suami atau isteri patut dimasukkan sama.

Aliran wang keluar: Ini termasuk perbelanjaan rumah dan sara hidup seperti makanan, pakaian dan barangan keperluan harian; penjagaan kereta dan petrol; bayaran balik pinjaman kereta, kad kredit atau sewa rumah; premium insurans; perbelanjaan untuk pendidikan dan perubatan; perbelanjaan bercuti dan hiburan; bayaran cukai pendapatan, zakat dan lain-lain. Senarai ini panjang sekali.

Di sinilah anda perlu memutuskan yang mana perbelanjaan perlu dan yang mana pula sekadar membazir sahaja – potong mana-mana perbelanjaan yang dianggap membazir supaya lebih banyak wang dapat ditabung.

Susun belanjawan untuk memastikan perbelanjaan terkawal. Belanjawan itu akan menjadi penentu apa yang anda mampu belanjakan. Misalnya, anda tidak mampu makan malam di restoran yang mahal setiap minggu jika belanjawan anda menunjukkan yang anda hanya mampu makan di kedai kopi. Bagaimanapun, sesekali mungkin anda ingin berbelanja lebih sempena hari istimewa seperti ulang tahun perkahwinan; jadi jangan lupa masukkan perbelanjaan seperti itu dalam belanjawan. Tetapi jangan pula berlebihan.

Jika anda berasa lemas dengan data yang panjang lebar ketika mengatur pelan kewangan, dapatkan bantuan teknologi komputer yang canggih. Dalam dunia hari ini, pakej perisian komputer adalah umpama tulang belakang yang direka cipta untuk membantu anda menyusun dan mengawal belanjawan. Kebanyakan program perisian komputer ini boleh membantu anda menyusun belanjawan dan memeriksa perbelanjaan, malah mengira jumlah yang perlu ditabung untuk pelaburan serta mengawasi pelaburan anda.

ok, setakat ini dulu perkongsian dari saya, semoga anda mendapat manfaat daripada perkongsian ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
This entry was posted in Pengurusan Kewangan. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Current month ye@r day *