Pesara Miskin Kerana Simpanan Wang Kurang

Saya tidak terkejut dengan fakta yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia hari ini, 27 September 2011.  Seramai 152,000 pekerja bakal bersara miskin kerana mempunyai wang simpanan KWSP tidak mencukupi semasa di usia persaraan.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendedahkan seramai 152,000 pencarum yang akan bersara wajib tahun ini memiliki simpanan persaraan kurang daripada RM50,000.

Pekerja Perlu Bijak Rancang Kewangan Untuk Bersara Dengan Senang

Jumlah simpanan itu adalah di bawah paras caruman minimum yang disasarkan kerajaan iaitu sebanyak RM120,000.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol berkata, pihaknya turut mendapati golongan pencarum tidak aktif berusia 54 tahun yang mempunyai baki simpanan purata serendah RM23,000, tahun lalu, tiga kali ganda lebih ramai berbanding jumlah pencarum aktif lain.

Katanya, jumlah simpanan yang rendah itu dikhuatiri menyebabkan individu terbabit akan hidup di bawah paras kemiskinan apabila bersara.

Beliau berkata, golongan yang mempunyai simpanan kurang RM50,000 itu meliputi 73 peratus pencarum KWSP dalam kategori pencarum tidak aktif.

Katanya, hanya 17 peratus daripada pencarum kumpulan ini mempunyai simpanan di dalam KWSP melebihi RM100,000 sewaktu bersara nanti.

”Selain itu, ramai juga pencarum yang membelanjakan wang persaraan terlalu cepat sehingga menyebabkan mereka tergolong di bawah paras kemiskinan dalam tempoh yang singkat,” ujarnya.

Tambah Azlan, dalam kajian KWSP pada 2003, pihaknya mendapati sebanyak 14 peratus daripada pencarum menghabiskan simpanan dalam tempoh tiga tahun selepas persaraan.

Katanya, sebanyak 50 peratus pencarum lagi didapati menghabiskan simpanan dalam tempoh lima tahun dan 70 peratus dalam tempoh 10 tahun.

”Kadar purata jangka hayat penduduk Malaysia dijangka terus meningkat sehingga 75 tahun berbanding 60 tahun.

”Sehubungan itu, setiap individu perlu mempunyai caruman dalam tempoh 20 tahun sewaktu dalam tempoh perkhidmatan,” ujarnya.

Kenapa perkara ini terjadi? Salah satu sebab adalah kerana kurangnya pengetahuan dalam perancangan kewangan. Maaf jika saya katakan mentaliti pekerja yang bergaji rendah..mereka beranggapan perancangan kewangan hanya untuk orang bergaji besar sahaja. Satu tanggapan yang amat salah, sebab setiap orang perlu merancang kewangan kita!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...