Merancang Kewangan Ketika Musibah

Setiap individu Muslim seharusnya merancang persediaan untuk menghadapi musibah seperti kemalangan, kecederaan atau kecacatan serta kerugian kewangan ataupun harta. Antara instrumen untuk tabungan berkaitan musibah ini ialah perlindungan insurans Islamik ataupun lebih dikenali dengan takaful.

Kematian pasti akan tiba. Hanya waktu, tempat serta sebab kematian sahaja yang kita tidak ketahui. Persediaan menghadapi kematian jika disertakan dengan persediaan tabungan untuk waris yang bakal ditinggalkan adalah suatu yang amat baik dan sangat digalakkan. Bangsa Melayu secara purata merupakan golongan yang mempunyai pendapatan purata isi rumah yang terendah berbanding kaum Cina dan India. Jadi, jika setiap ketua keluarga menyediakan tabungan yang besar bagi waris apabila berlaku kematian, insya-Allah status ekonomi waris yang ditinggalkan akan meningkat.

Takaful

Konsep tolong-menolong inilah yang menjadikan takaful unik berbanding insurans yang difatwakan haram pada tahun 70-an lagi. Setiap pencarum yang mencarum atau istilah yang biasa digunakan dalam industri insurans adalah ‘premium’, memasukkan sebahagian dari caruman mereka ke dalam tabungan yang dikenali sebagai dana Tabarru’. Sekiranya terjadi musibah yang dikenal pasti terlindung dalam polisi takaful, pampasan yang bakal diterima oleh penama dalam polisi adalah dari dana ini.

Konsep ini kerap diguna pakai oleh masyarakat kita yang dikenali sebagai ‘khairat kematian’. Setiap ahli qariah masjid atau surau dalam sesebuah kelompok kediaman atau perkampungan, menyumbang bayaran bulanan jumlah tertentu, dalam lingkungan RM2 hingga ke RM10, untuk tabung ini. Apabila terjadi kematian salah seorang ahlinya, wang sagu hati akan diberikan kepada waris bagi pengurusan jenazah dan lain-lain perbelanjaan yang berkaitan. Biasanya wang sagu hati ini di antara RM300 hingga RM1,000.

Dengan instrumen kewangan yang dikenali sebagai takaful, pampasan yang bakal diterima oleh waris agak tinggi mengikut kepada kemampuan pencarum membayar bulanan, suku tahunan atau tahunan. Lebih besar tabung atau dana Tabarru’ ini, lebih besar juga ruang untuk setiap peserta atau waris menerima manfaat takaful.

Jika dikaji ramai antara kita tidak menderma secara berkala dengan jumlah yang konsisten. Jika ada peminta sedekah atau surat meminta sumbangan barulah kita hulurkan bantuan sekadar yang difikirkan sesuai. Secara tidak langsung setiap peserta menyumbang derma secara konsisten setiap bulan, suku tahunan, separa tahunan atau tahunan, mengikut kaedah caruman yang dipersetujui.

Dengan mencarum dalam sesuatu skim takaful kita mendisiplinkan diri untuk menyumbang secara berkala. Apabila terjadi musibah dalam kalangan peserta, wang sumbangan kita akan digunakan untuk mengeluarkan pampasan kepada waris. Insya-Allah ramai anak yatim dan balu akan menerima manfaat sebahagian daripada sumbangan kita itu yang berterusan sehingga tamat tempoh polisi.

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...