Bajet 2012: Doa dan Harapan Pembayar Cukai

Salam…Bajet 2012..itulah yang ditunggu-tunggu oleh Rakyat Malaysia.dengan harapan agar kerajaan kita berbaik hati memberikan ole-oleh yang bukan sekadar kepada 1 kumpulan tertentu sahaja dan lebih baik daripada budget 2011. Pastinya dinantikan oleh pekerja-pekerja yang berpendapatan tetap adalah pengurangan percentage cukai bracket…

Dalam posting kali ini, saya bawakan satu artikel oleh Maslinda Masseri, iaitu Pengarah Eksekutif, KPMG Tax Services Sdn. Bhd.

Bajet 2012..adakah akan memberikan berita baik untuk Pekerja?

Tiba sahaja bulan Oktober, kita mesti teruja dengan apa yang bakal dibentangkan di bawah Bajet Tahunan Negara. Bajet 2012 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober 2011 juga tiada bezanya. Ramai pembayar cukai yang mengharapkan agar cadangan-cadangan yang akan diusulkan sedikit sebanyak mengurangkan tanggungan cukai mereka. Ini dilihat memberi impak kepada pendapatan yang dibawa pulang dan lebihan wang tersebut dapat digunakan untuk menabung atau menampung kos saraan hidup yang sedang meningkat.

Umum mengetahui Kerajaan amat prihatin terhadap rakyat yang berpendapatan rendah. Banyak usul di dalam bajet yang terdahulu dicadangkan dengan mengambil kira golongan ini. Sudah tentu ini adalah satu perkara yang amat wajar.

Bagi individu-individu yang berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri dan membayar cukai pendapatan, sudah tentu mereka juga mengharapkan Kerajaan turut prihatin terhadap kedudukan mereka terutamanya dengan peningkatan kos saraan hidup ketika ini.

Pelepasan cukai

Sudah tiba masanya kerajaan menganalisis sama ada pelepasan cukai yang diberikan pada masa ini masih bertepatan atau mencukupi. Sekiranya diamati Borang retan bagi seseorang pembayar cukai individu, terdapat 22 pelepasan cukai yang boleh dituntut.

Antara pelepasan cukai yang harus mendapat tumpuan oleh kerajaan di dalam Bajet 2012 adalah:-

Caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan insurans nyawa.

Caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan insurans nyawa diberi pelepasan cukai tetapi dihadkan kepada RM6,000. Pada tahun lalu, Kerajaan telah merombak pelepasan di atas dengan membenarkan caruman yang dibuat kepada Dana Pencen Swasta turut mendapat pelepasan cukai. Caruman kepada Dana Pencen Swasta ini dilihat sebagai satu langkah yang bijak terutamanya bagi mereka yang bekerja sendiri untuk memastikan bahawa hari tua mereka terjamin. Namun, sekiranya tahap caruman kepada KWSP dan insurans nyawa telah mencapai tahap maksimum iaitu RM6,000, caruman tambahan ini tidak diambil kira untuk tolakan cukai.

Tahun terakhir had tuntutan dikaji adalah 2004 semasa had caruman ditingkatkan kepada RM6,000 daripada RM5,000. Sekiranya, had tuntutan ini dikaji semula di dalam Bajet 2012 dan ditingkatkan lagi, maka sudah tentu pembayar cukai yang mana mencarum kepada KWSP dan insurans nyawa melebihi RM6,000 akan menerima faedah.

Pelepasan berkenaan dengan anak serta ibu bapa

Kerajaan mengiktiraf bahawa menjaga generasi terdahulu dan masa akan datang melibatkan kos yang tinggi terutamanya di mana ibu bapa atau anak tersebut memerlukan penjagaan khusus atau kurang upaya. Oleh itu, pelbagai pelepasan cukai diberikan untuk tujuan tersebut untuk meringankan bebanan.

Pelepasan-pelepasan cukai ini termasuklah perbelanjaan perubatan ibu bapa yang dihadkan kepada RM5,000, perbelanjaan bagi peralatan sokongan asas untuk diri, isteri, anak atau ibu bapa yang kurang upaya yang dihadkan kepada RM5,000, perbelanjaan perubatan penyakit yang sukar diubati untuk diri, isteri dan anak yang dihadkan kepada RM5,000, kos pemeriksaan penuh untuk diri, isteri dan anak yang dihadkan kepada RM500 serta caruman insurans untuk pendidikan dan perubatan untuk diri, isteri dan anak yang dihadkan kepada RM3,000. Turut diberikan adalah pelepasan untuk anak yang berada di bawah tanggungan.

Untuk menuntut pelepasan-pelepasan di atas, kecuali pelepasan untuk anak di bawah tanggungan, pembayar cukai harus menyimpan resit-resit serta mendapat perakuan yang dikeluarkan oleh pengamal perubatan. Ini mungkin menyukarkan pembayar cukai kerana resit-resit ini perlu disimpan untuk tempoh masa enam tahun. Pelbagaian pelepasan untuk dituntut juga mungkin mengelirukan.

Umum sedia maklum bahawa kos perubatan dan pendidikan di Malaysia juga turut mengalami peningkatan lewat ini. Apatah lagi, kos-kos perubatan bagi penyakit yang kritikal dan memerlukan penjagaan khusus. Kita bukan sahaja mahu menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi, malahan mahu terus mengekalkan adat timur kita di dalam menjaga keluarga. Barangkali, untuk memudahkan tuntutan pelepasan untuk anak dan ibu bapa di bawah tanggungan seseorang pembayar cukai, Kerajaan boleh mengkaji untuk memperkemaskan pelepasan-pelepasan yang ada. Kemungkinan juga, kaedah tuntutan juga boleh dipermudahkan dengan menetapkan peratusan sebagai contoh 35 peratus daripada apa yang telah dibelanjakan setahun.

Pembelian buku, majalah, jurnal dan penerbitan

Beberapa tahun lalu, Kerajaan telah membenarkan pelepasan cukai ke atas pembelian buku, majalah, jurnal dan penerbitan untuk menggalakkan budaya membaca. Langkah ini disambut positif oleh ramai pihak terutamanya pembayar cukai yang mempunyai anak yang masih bersekolah ekoran tuntutan pelepasan juga boleh dibuat ke atas buku-buku sekolah yang dibeli. Oleh itu, jumlah pelepasan yang dihadkan kepada RM1,000 perlu dinaikkan agar inisiatif ini terus memberi kesan.

Bagaimana dengan anda? Apa harapan Anda? Pastinya kita inginkan sesuatu yang baik untuk seluruh masyarakat kan? Sama-sama lah kita nantikan pengumuman Bajet 2012 pada 7 Oktober 2011 nanti. Harapan kita agar budget 2012 adalah lebih baik daripada bajet 2011.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...